keep update with us on facebook!

Thursday, November 18, 2010

air mata di pagi aidil adha

ini kisah hari raya aidil adha. meskipun pada malam 10 zulhijjah, diri ini langsung tidak merasakan yang esoknya hari raya qurban. mungkin kerana suasana suram di kedah akibat banjir, tak banyak lembu yang di kurban tahun ini. di rumah tok saya, ibu kepada ayah saya buat julung kalinya tidak melaksanakan ibadah kurban. tahun-tahun sebelumnya kurang-kurang dua ekor.

seusai solat hari raya, saya menghabiskan masa di depan tv, bersama tok saya. sama-sama menonton dokumentari orang melaksanakan ibadah haji di makkah sambil tok saya berkongsi pengalamannya menunaikan ibadah haji suatu ketika dahulu, sekarang beliau sudah uzur tapi caa beliau bercerita macam baru saja pulang dari tanah suci itu. walaupun usia entah saya tak tahu berapa, ingatan pun telah luput, tapi kenangan di tanah suci masih segar, saya mendengar cerita yang siap disertakan dengan bacaan yang perlu dibaca. saya terdiam kagum.

sedang asyik menonton, air mata ini mengalir. tidak dapat dinafikan saya memang mudah mengalirkan air mata. teringatkan tok saya yang seorang lagi, ibu kepada mama saya. beliau telah kembali ke rahmatullah ketika saya darjah enam, tidak sempat melihat slip upsr saya. saya antara yang paling rapat dengannya. orang yang selalu mengingatkan solat saya.

masih segar diingatan, saat beliau handak berangkat ke tanah suci, tika sanak-saudara mengirim beli itu dan ini, langsung tak dihiraukan. duit dibawa sekadar perlu sahaja. katanya, pergi makkah ni nak menunaikan rukun islam, nak beribadah, nak menghadap Allah.

beliau menghembuskan nafas terakhir di hadapan saya, di hospital alor star, waktu maghrib, malam jumaat. saya tak lupa itu. saya tahan untuk tidak menangis, kerana saya tahu beliau telah lama menanti saat itu, saat bertemu dengan Penciptanya. saya bersama jenazah beliau sehingga selamat dikebumikan. proses menyimpan jenazah tidak sukar, kerana semuanya telah disediakan. telekung baru, wangi-wangian dan naskhah alquran 30 juzuk untuk diperdengarkan kepada beliau sebelum ke liang lahad semuanya telah tersedia lengkap di dalam almari. ya, memang benar beliau merindui saat itu, dan beliau betul-betul telah bersedia.

kini saya merenung wajah tok saya yang masih semangat berkongsi pengalaman beliau. wajahnya telah dimamah usia. hanya menanti masa. cuma antara saya dan dia, tidak tahu siapa dahulu yang dijemput. persoalannya, dia mungkin sudah bersedia, bagaimana pula dengan saya?

sekian, detik berharga di pagi aidil adha walaupun bertemankan air mata.

-mfr5071-

1 comment:

atifgazali@gmail.com said...

sebuah lagi pengalaman yang berharga.
impressive.