keep update with us on facebook!

Saturday, September 29, 2012

Jom Ubah!

Dalam perkiraan saya, sudah mencecah lima bulan saya tidak berkomentar tentang isu politik di Tapak Pembinaan ini. Bukan kerana sudah tidak peduli lagi tapi ini lah yang dirancang. Hal ini kerana saya sendiri kesal dengan coretan dan komentar saya berkenaan politik di laman ini yang kebanyakannya dipengaruhi emosi walaupun terdapat kenyataan yang disokong fakta. Saya insaf.

Tempoh ‘senyap’ dari politik ini saya gunakan untuk muhasabah dan berfikir untung rugi, kesan daripada terus peduli isu politik hari ini yang rata-rata anak muda  benci dan cuba elakkan diri darinya. Terasa mual bila berbicara isu politik.

Saya baca dan teliti, saya dengar dan amati. Ceramah berunsur politik juga saya hadiri. Banyak artikel dan video yang boleh membuatkan kita berfikir dan koreksi diri. Antara yang membuatkan saya terkesan ialah coretan Ustaz Hasrizal yang bertajuk Atas PAGAR Makan Budi yang menyentuh banyak aspek yang baik untuk dihadam oleh anak muda. Peruntukkanlah dalam 5 minit, impaknya besar insyaAllah.

Politik yang menghakis nilai

Saya gembira melihat ramai anak muda yang semakin peduli dalam isu politik walaupun mulut kata benci politik, ‘no politic please’, tapi hakikatnya kita tak boleh lari. Justeru saya menyeru anak muda yang terlibat atau mahu terlibat secara langsung dalam arena politik, perincikan nilai yang perlu kita persembahkan kepada umum dalam erti kata lain akhlak kita.

Saranan saya, mari sama-sama kita cerminkan akhlak yang positif dalam member tindak balas dalam sebarang isu politik tidak kiralah melalui medium apa sekali pun. Perkataan yang dipilih, cara membangkitkan sesuatu isu dan aspek lain yang kita rasa perlu dalam usaha kembali memurnikan, mensucikan kerancakan gelanggang politik.

Ayuh cipta rentak kita sendiri, anak muda!

Aneh kiranya kalau kita menyuarakan kebencian kepada politik kotor, jatuh menjatuhkan, memperlekeh antara satu sama lain dengan lagak hujah tak ubah seperti kanak-kanak tadika bertikam lidah, tapi kita sendiri yang menjadi penyebab kekotoran itu. Justeru kita anak muda yang bakal mewarisi negara ini ayuhlah kita cipta rentak kita sendiri, rentak politik yang kita idamkan. Bersih lagi suci, hormat antara satu sama lain serta lontaran idea dan hujah yang disadur ilmu yang sahih. Biar kita lah yang menjadi ‘transition generation’ (*tak wujud rasanya istilah ni*) kepada perubahan ini.


 Percaya dan yakinlah, kalau kita berjaya mulakan dengan diri kita sekurang-kurangnya dengan mencerminkan akhlak yang baik dalam politik hari ini, insyaAllah kita akan bergerak kearah negara yang lebih makmur dan usaha mensejahterakan rakyat akan menjadi lebih subur. Tatkala itu, beradalah anda di pihak mana pun, ianya bukan lagi masalah besar. Cuma yang membezakan kita hanyalah agenda dan pendekatan dalam berpolitik, cita-cita kita sama, membentuk sebuah negara yang makmur, seperti makmurnya kota madinah berpaksikan piagam madinah.

Akhir kalam, setiap perubahan yang diinginkan perlukan langkahan bukan sekadar cakap kosong itu dan ini. tak kira lah siapa kita, pemerintah mahupun rakyat biasa, kita hanyalah hamba. Siapa kita nak mendabik dada dengan kuasa sedangkan kita hanyalah hamba?

Sekian.

FaizRodzi
UTP, 0920
September 29, 2012.

No comments: