keep update with us on facebook!

Saturday, December 24, 2011

cerita budak sekolah

Kondisi iman yang terhuyung-hanyang bukan waktu yang baik untuk menulis sebenarnya, namun memori yang menerjah kotak fikiran ini meruntun untuk dikongsi, agar tidak basi.

Ini kisah beberapa tahun dulu, cerita budak sekolah. Cerita saya.

Isunya tidak besar. Hanya isu menu di kantin yang semakin menjemukan. Nasi lemak, sambal dan telur goreng untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Justeru kantin yang menjadi alternative kepada dewan makan sebagai tempat ‘mengubah selera’ membuatkan para pelajar hilang punca.

Harga yang dikenakan juga menjadi isu. Tidak dinafikan, harga tidak pernah naik dan tidak pernah turun, namun kuantitinya yang menjadi persoalan.

Walaupun yang menjadi pelanggan hanya budak sekolah, hingusan yang disangka sentiasa patuh sahaja dengan apa yang disedia. Tanggapan tersebut merupakan kesilapan yang amat besar.

Para pelajar mula merungut dan sedia memberontak.

Saya sedar, sekolah punya undang-undang. Masalah boleh diselesaikan dengan mengikut medium yang betul. Perbincangan demi perbincangan dibuat. Jawatankuasa kantin yang terdiri dari kalangan guru sudah dirujuk. Pengusaha kantin sendiri sudah dibawa berbincang. PK HEM juga sudah maklum dengan rungutan pelajar ini.

Namun segala langkah yang diambil seakan sia-sia. Hari berlalu seperti tiada apa yang berlaku. Mungkin, kami hanya budak sekolah, siapa lah sangat kami untuk ‘demand’ itu dan ini. Namun kami pelajar, punya hak.

Remaja, jangan pernah dicabar.

Setelah menemui jalan buntu, alternative yang lebih ‘nakal’ dipilih. Semua penghuni aspura berhimpun dan tujuan berhimpun saya suarakan. Akhirnya kami semua sepakat.

“ bermula esok sehingga genap tujuh hari, selagi mana dia lelaki dan tinggal di aspura, jangan sesekali membeli makanan di kantin. Atau dalam nada lain, kita boikot kantin seminggu”

Saya dan kepimpinan yang ada bersedia berhadapan dengan pentadbiran walau apa yang berlaku.

Segalanya berjalan seperti yang dirancang. Selepas tiga hari kantin tutup. Pihak lain yang merasa tempias ialah guru-guru. Terpaksa makan di luar selama seminggu.

Minggu berikutnya berlangsung pertemuan tiga penjuru. Wakil guru, pengusaha kantin dan saya, selaku wakil pelajar. Saya mengaku bertanggungjawab atas apa yang berlaku dan menerangkan dengan jelas apa yang saya rasa perlu.

Masih segar diingatan tangisan mak cik pengusaha kantin semasa mesyuarat tersebut, mengkisahkan ‘periuk nasinya’ yang terkesan sepanjang pemboikotan tersebut. Saya mengaku perbuatan tersebut agak kejam, namun mesejnya jelas. Kami bukan ternakan yang hanya ikut saja apa yang dijamu. Kami hanya menuntut apa yang kami rasa perlu.

Seperti biasa, bagi pihak yang baru terkesan bila kekecohan berlaku menyerang saya dari segala sudut. Dituduh biadap, banyak lagi cara baik yang boleh diusahakan.

Saya hanya senyum sambil meminta maaf. Ya, mungkin ianya biadap Cuma saya minta senaraikan apa cara yang dirasakan lebih baik tu, dan saya nak lihat yang mana saya masih belum cuba sebelum membuat keputusan yang dikatakan biadap.

Sekarang semua itu tinggal kenangan. Pengajarannya masih saya simpan.

Berkata memang mudah. Namun yang merasa itu, pedihnya lain.

Sekian sahaja, penulisan spontan. Hanya cerita budak sekolah, tidak layak untuk dipandang serius. Jauh sekali untuk dibandingkan dengan cerita bakal-bakal professional harapan Negara.

-mfr5071-

3 comments:

atifgazali@gmail.com said...

Kisah untuk masa hadapan..

Amir Oman Hafiz Ahmad Suhaimi said...

kisah yang bersejarah. yang memberi pengajaran buat sekarang. yang memberi manfaat masa hadapan.

Anonymous said...

Kisah silam yang x mungkin dilupakan smpai bila2..tahniah abg faiz krana pernah memimpin kami ketika itu

-bekas junior anda..