keep update with us on facebook!

Friday, March 2, 2012

Pasca PRK UTP 2012

Kebelakangan ini jadual harian sangat sibuk dengan sesi ‘lab’ dan test. Namun dalam kesibukan itu saya cuba mencari senggang masa untuk sama-sama menghidupkan suasana Pilihan raya kampus (PRK) UTP yang berlangsung 29 Februari lepas.

Sebelum tarikh tersebut, sempat juga saya menyertai beberapa diskusi bersama calon dan mahasiswa lain di facebook tentang beberapa isu. Rata-rata menyuarakan hasrat untuk menyaksikan kepimpinan baru dapat menghidupkan ‘roh mahasiswa’ di UTP dan lebih lantang dalam berhadapan dengan pengurusan university.

Antara isu menarik yang dibangkitkan ialah berkenaan usaha mengaktifkan kembali (atau menubuhkan, saya kurang pasti kewujudannya di UTP) dan lontaran idea-idea bernas memenuhi ruang komen di facebook. Ia sedikit sebanyak mengubah persepsi saya terhadap group SRCUTP di facebook yang seolah-olah bukan tempat menyuarakan pendapat atau masalah, tetapi lebih kepada tempat para ‘keyboard warrior’ mengasah bakat untuk ‘trolling’.

PRK UTP lesu?

Kehangatan bermula dengan bermulanya malam manifesto. Saya tidak pasti bagaimana pelaksanaan PRK di kampus-kampus IPTA yang lain tapi sistem PRK di UTP sama sahaja seperti di Kolej MARA Banting (KMB). Tahun ini merupakan tahun pertama saya merasakan suasana PRK di UTP dan pelbagai cerita sampai ke telinga saya berkaitan PRK di UTP.

Malam manifesto berakhir dengan membenarkan beberapa tanggapan awal saya. Antaranya saya mengakui PRK UTP masih lesu. Ya, masih. Dengan 6 kerusi dipertandingkan hanya 7 orang calon yang bertanding dan bahang PRK langsung tidak terasa semasa saya bersama-sama dengan rakan-rakan lain di kuliah. Tidak perlu hairan kenapa rekod tahun lepas hanya 20% dari kesseluruhan pelajar yang turun mengundi.

Di mana silapnya?

Saya bukanlah orang yang selayaknya untuk membahaskan isu kelesuan PRK UTP ini. Saya masih dalam fasa mengenali kampus, kadangkala masih tersilap naik bangunan dalam mencari bilik kuliah. Namun ingin juga saya kongsi hasil pemerhatian saya sepanjang PRK yang lalu.

Saya melihat isu ini dengan merujuk kepada beberapa pihak. Pertamanya pihak MPP sendiri. Mungkin kerana saya merupakan intake September yang pada waktu itu majority mahasiswa sedang bercuti, saya tidak merasakan keberadaan MPP itu sendiri di kampus. Saya merasakan kurangnya medium untuk mahasiswa berinteraksi dengan MPP menjadi salah satu factor, maksud saya satu medium rasmi selain group di facebook. Saya tahu akan kewujudan utpress tapi saya merasakan seperti laman tersebut tidak hidup dan mungkin sudah lupus. MPP memerlukan satu laman rasmi untuk sekurang-kurangnya menjadi medium menyebarkan maklumat kepada mahasiswa. Lantas tiadalah isu MPP hanya sekadar organisasi yang lesu dan menjadi hentaman para keyboard warrior. Mohon kongsikan link untuk jika ianya telah lama wujud. Mungkin saya terlepas pandang.

Keduanya saya melihat para mahasiswa UTP sendiri tidak merasai keberadaan MPP sebagai badan yang mewakili suara mereka di kampus. Wujud atau tidak MPP, sama sahaja impaknya. Saya juga merasakan begitu. Walau apa yang terjadi, mahasiswa perlu tunduk dengan polisi university dan tiada apa yang boleh dipersoalkan. Dan saya yakin peratus turun mengundi tahun ini tidak jauh beza dengan tahun sebelumnya, kalau meningkat banyak pun mungkin kerana ‘lucky draw’ yang menawarkan iPad sebagai habuan.

Harapan mahasiswa

Walau apa pun tohmahan dan pandangan yangdilontarkan kepada mahasiswa UTP dan kepimpinannya, saya masih menaruh harapan yang tinggi kepada kepimpinan MPP untuk melakukan sesuatu. Saya mendokong idea yang mahasiswa sepatutnya menjadi kuasa ketiga dalam Negara dan bertindak sebagai suara yang menyemak dan mengimbangi keputusan yang dibuat kerajaan di parlimen.

Bagi saya ianya menjadi satu kerugian, aset Negara yang tiada nilai tara untuk dijual beli ini hanya menjadi susuk tubuh menelaah ilmu tanpa berusaha mengaplikasi ilmu dalam merobah sistem kearah yang lebih baik.

‘Cream of the cream’ dikumpulkan di kampus bertuah ini tatkala keputusan SPM belum pun lagi diumumkan. Hebat. Justeru buatlah sesuatu. Jangan biarkan ‘cream’ itu basi dihurung keasyikan hidup yang semakin sesak dan membimbangkan.

Sekian.

FaizRodzi

No comments: